Stesen Luar Pendidikan & Penyelidikan
Stesen Luar Pendidikan & Penyelidikan di Hutan Simpan Ayer Hitam dimulakan dengan pembinaan prasarana penginapan, dewan dan pejabat yang melibatkan kos hampir RM1 juta bagi tujuan kegunaan aktiviti pengajaran, penyelidikan & latihan kepada pelajar dan kakitangan UPM.

Istimewanya pembangunan ini adalah ia berdasarkan Konsep Pembangunan Mampan di mana penebangan pokok adalah terhad dan tidak melibatkan kerja-kerja pemotongan tanah serta menjalankan kerja secara manual. Projek yang dibiayai oleh peruntukan universiti ini dimulakan pada bulan November 2007 dan siap pada Oktober 2008. Ia telah dirasmikan oleh Y. Bhg. Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah (Naib Canselor ketika itu) pada 14 April 2009 bersamaan 18 Rabiulakhir 1430H.
Sebanyak 7 unit bangunan telah dibina iaitu terdiri daripada 4 unit domitori peserta, 2 unit domitori untuk urusetia/fasilitator dan sebuah dewan serbaguna beserta pejabat. Setiap unit bangunan pula telah dihubungkan melalui jambatan (boardwalk). Kesemua dometri yang dibina dilengkapi dengan dengan keperluan asas seperti katil, almari, bekalan air dan elektrik. Manakala pemasangan rangkaian internet sedang dalam proses.

Stesen Luar Pendidikan dan Penyelidikan ini boleh memuatkan seramai 56 orang peserta dan boleh menampung 80 orang dalam satu-satu masa. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti Mesyuarat, Bengkel, Lawatan, ProgramTeambuilding, Kursus, Kem dan sebagainya.
Waktu operasi stesen ini bermula pada waktu bekerja jam 8.00 pagi – 5.00 petang dan masa juga bergantung pada sesuatu aktiviti yang dijalankan. Masa lawatan adalah dari jam 10.00 pagi – 4.00 petang.
