Latar Belakang
Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong, Selangor seluas 1,176.1 hektar adalah merupakan sebahagian hutan simpan yang paling awal diwartakan di Negeri Selangor iaitu pada tahun 1906. Kawasan ini yang merangkumi Kompatmen 1, 2, 12, 13, 14 dan 15 (Peta 1) merupakan satu-satunya hutan pamah dipterokarp yang masih wujud dalam keadaan sempurna di kawasan emas Koridor Raya Multimedia. Hutan Simpan Ayer Hitam terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dan dianugerahkan secara perjanjian jangka panjang selama 80 tahun mulai 1996 oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Universiti Putra Malaysia untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan pengembangan perhutanan.

Hutan Simpan Ayer Hitam merupakan hutan yang pernah dibalak dan dalam proses pemulihan semula. ia merupakan satu ekosistem terserpih yang kaya dengan pelbagai tumbuhan. Berdasarkan kajian, HSAH mempunyai 127 spesis daripada 36 famili iaiatu 30% daripada jumlah spesis pokok yang terdapat di Malaysia. Kajian juga mendapati terdapat sebanyak 33 spesis dari 13 famili rumpai, 43 spesis dari 9 famili lumut, 7 spesis palma, 8 spesis rotan, 98 spesis dari 53 famili tumbuhan ubatan, 4 spesis buluh dan 29 spesis pokok buah hutan.
Hutan Simpan Ayer Hitam amat kaya dengan kepelbagaian faunanya. Maklumat yang diperolehi menunjukkan terdapat lebih 160 spesis burung daripada 38 famili. Tiga famili terbesar yang mewakili hampir 24 peratus daripada keseluruhan spesies ialah Timalidae, Cucurlidae dan Pycnonotidae. Bagi kumpulan mamalia pula, hutan ini mempunyai lima spesis primat besar dari genus lotong, ungka beruk dan kera. Kajian juga merekodkan sebanyak 14 spesis mamalia kecil termasuk 10 genera dari lima famili dan tiga order. Spesis tersebut terdiri daripada enam tikus, empat tupai, tiga insektivor dan satu spesis primat. bagi spesis kelawar sejumlah 13 spesis telah dijumpai.Selain itu terdapat juga 10 spesis reptilia, 18 spesis amfibia, dan 10 spesis ikan.
